Menurut Mohd Noor Mat Yazid (1994), Dasar Luar
membawa maksud matlamat, rancangan dan tindakan yang dilakukan oleh sesebuah
negara dalam usaha berhubung dengan sesebuah negara lain. Hubungan di antara
sebuah negara dengan sesebuah negara lain adalah perlu dan penting dalam
menjaga kepentingan, keselamatan dan kemakmuran sesebuah negara. Di samping itu,
menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, dasar didefinisikan sebagai asas atau
prinsip yang asas manakala luar pula membawa maksud keadaan yang berada di
tempat lain.
Malaysia mengamalkan dasar luar yang tersendiri
iaitu berbaik-baik dengan semua negara lain. Objektif utama Dasar Luar Malaysia
adalah bertujuan untuk melindungi kepentingan nasional di arena antarabangsa
sekaligus di pentas dunia. Menurut pernyataan mantan Menteri Luar Negeri, Dato’
Seri Syed Hamid Albar, Dasar Luar Malaysia adalah penting untuk menjaga,
mempertahankan dan memajukan kepentingan-kepentingan Malaysia di peringkat
global. Selain itu, dasar luar juga dapat menjalinkan hubungan baik dengan
negara lain serta dapat mengeratkan kerjasama antara negara.
Antara kepentingan mengamalkan dasar luar ialah
menyebabkan ekonomi negara Malaysia berkembang pesat. Malaysia yang menjalinkan
hubugan berbaik-baik dengan negara luar seperti Britain dan Amerika telah
menyebabkan ekonomi negara bertambah pesat. Ekonomi negara Malaysia dapat
berkembang pesat apabila Britain dan Amerika membeli bijih timah dan getah
daripada Malaysia yang merupakan pengeluar utama bijih timah dan getah dunia.
Tambahan pula, negara-negara berkaitan juga banyak menanam modal dalam sektor
perladangan dan perindustrian di negara Malaysia. Pelaburan dari luar negara
juga menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara Malaysia.
Seterusnya, dasar luar yang diamalkan oleh Malaysia
dapat membawa kestabilan dan kemakmuran kepada negara Malaysia. Ini adalah
disebabkan dasar luar Malaysia yang bersifat pro-Barat serta berbaik-baik
dengan negara Komanwel. Hasil daripada dasar-dasar luar Malaysia tersebut,
Malaysia mendapat bantuan ketenteraan daripada negara Komanwel seperti Britain,
Australia dan New Zealand dalam menghadapi ancaman komunis. Hubungan baik yang
dijalinkan antara Malaysia dengan negara-negara luar telah menyebabkan keadaan
politik negara Malaysia stabil dan bebas daripada ancaman komunis.
Selain itu, dasar luar yang diamalkan oleh Malaysia
juga menyumbang kepada kestabilan politik negara. Sebagai contoh, pada tahun
1970-an, Malaysia mengamalkan dasar luar berkecuali dan berbaik-baik dengan
semua negara. Dasar Malaysia berbaik-baik dengan negara blok komunis seperti
Soviet Union, China dan Korea Utara berjaya mengurangkan penglibatan kuasa
besar dalam politik di rantau Asia Tenggara. Keamanan di rantau tersebut
memberi peluang untuk Malaysia memajukan ekonomi negara. Kerjasama ekonomi
melalui ASEAN telah memacu perkembangan ekonomi negara.
Di samping itu, salah satu dasar luar Malaysia iaitu
Dasar Pandang ke Timur telah membawa manfaat kepada Malaysia dari segi
perkembangan ekonomi. Dasar Pandang ke Timur yang diamalkan telah berjaya
menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai model pembangunan ekonomi negara
banyak membawa kebaikan. Produktiviti pengeluaran negara semakin meningkat dan
pembangunan dijayakan dengan pesat. Pembinaan projek mega seperti menara
PETRONAS, KLIA, pembinaan LRT dan lain-lain meletakkan Malaysia dalam era
pembangunan yang luar biasa.
Dasar luar Malaysia yang bersifat multilateral telah
berjaya mengukuhkan perpaduan masyarakat antarabangsa. Hubungan luar Malaysia
dengan negara serantau melalui ASEAN telah mengeratkan hubungan semua negara
anggota. Contohnya, semua negara bersatu hati mengisytiharkan rantau Asia
Tenggara sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN). Hal ini menyebabkan
rantau tersebut bebas daripada campur tangan kuasa luar dalam hal ehwal
politik. Selain itu, negara ASEAN juga bersatu hati mengadakan kerjasama dalam
bidang ekonomi, sosial, kebudayaan dan pendidikan.
Sebagai kesimpulan, dasar-dasar luar yang diamalkan
oleh Malaysia amat penting untuk menjaga keamanan sejagat. Usaha yang dilakukan
oleh negara Malaysia turut menyebabkan negara Malaysia dihormati dan dipandang
tinggi di mata dunia, bak kata pepatah, duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
dengan negara-negara luar.
RUJUKAN